Mac 2012

Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud

PUTRAJAYA 21 MAC: Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud  mengumumkan seramai 559 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 berjaya memperoleh gred Cemerlang Tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran berbanding 403 calon pada tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, 506 calon adalah dari sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi adalah calon sekolah lain. 

Katanya, pencapaian keseluruhan SPM 2011 yang menyaksikan 468,808 calon kesemuanya adalah yang terbaik dalam tempoh lima tahun dengan nilai indeks Gred Purata Nasional (GPN) 5.04 berbanding 5.19 pada 2010.

Turut cemerlang pesakit kanser ovari dan hati Cheaw Sier Han, 18, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Rahman, Mergong Alor Setar sangat teruja apabila mengetahui dia lulus sembilan daripada 10 mata pelajaran dalam peperiksaan yang didudukinya di Hospital Sultanah Bahiyah.

 Wong Yujing cemerlang subjek Tasawwur 
Wong Yujing 18 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu juga memperoleh 10A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi dan Tasawwur. 

Pelajar yang berasal dari Kampung Gong Badak itu berkata dia mula mengikuti kelas Tasawwur Islam sejak Tingkatan Empat dan minatnya untuk mengambil mata pelajaran itu tersemai kerana dikelilingi rakan beragama Islam hingga timbul keinginan untuk mendalami agama Islam.

Dalam masa yang sama Timbalan Pengarah Pelajaran Terengganu, Hashim Mohd. Zin mengumumkan Terengganu terus mengekalkan momentum keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) cemerlang selama empat tahun berturut-turut.  Beliau berkata, Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2011 negeri itu meningkat kepada 4.92 peratus berbanding 5.03 peratus pada 2010.

Wong Yujing bersama rakan-rakannya dari SMK Sultan Sulaiman