Ahad, 21 Disember 2014

MILITAN IS MAHU PERANG AKHIR ZAMAN.


GAMBAR fail tidak bertarikh yang disiarkan Pusat Media Raqqa bagi pihak IS pada 30 Jun lalu merakamkan seorang anggota kumpulan itu sedang mengawasi sebutir peluru berpandu yang dibawa menaiki kereta api di Raqqa, Syria. – AGENSI- 
KAMIL MASLIH 

Razif Mohd. Arif berumur 33 tahun ialah seorang kontraktor pembinaan. Yazid Sufaat yang berumur 50 tahun pula, bekas pegawai tentera manakala Wan Mohd. Aquil W.M. Zainal Abidin atau Akel Zainal berumur 35 tahun ialah bekas ahli muzik. Mereka semua yang latar belakang cukup berbeza ini dikenal pasti menyertai kumpulan militan Islamic State (IS).
Ada yang masih hidup, ada yang sudah menemui ajal. Mohammad Fadhlan Shahidi Mohamad Khir, pelajar sekolah pondok berumur 21 tahun telah maut di Syria. Ahmad Tarmizi Maliki, pekerja kilang berumur 26 tahun maut setelah menjadi pengebom berani mati di Anbar, Iraq. Mohd Lotfi Ariffin, pengasas madrasah berumur 46 tahun maut di Syria.
Jika difikirkan secara logik mudah, agar sukar membayangkan bagaimana konflik yang berlaku di Iraq dan Syria boleh merebak ke Malaysia yang jauhnya berbelas ribu kilometer, namun harus diingatkan, apa yang dipengaruhi adalah pemikiran umat Islam di negara ini dan apa yang bermula sebagai ideologi, mampu berubah menjadi tindakan keganasan.

Meneliti kembali Kertas Putih Ke Arah Menangani Ancaman Kumpulan Islamic State (IS) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen baru-baru ini, kebimbangan rakyat Malaysia terhadap ancaman kumpulan militan itu dihuraikan satu persatu termasuk faktor yang mendorong penyertaan mereka.
Sebagaimana yang telah dibentangkan dalam kertas putih itu, buat ketika ini sahaja, sebanyak lima orang rakyat Malaysia terbunuh, 39 orang Malaysia telah dikenal pasti sedang berada di Syria dan 40 orang lagi mungkin menerima nasib yang sama sekiranya pihak berkuasa Malaysia tidak menahan mereka.
Antara faktor utama yang mendorong rakyat Malaysia berada di Iraq dan Syria untuk menyertai IS adalah kerana mereka terpengaruh dengan dakyah IS bahawa peperangan di Syria ketika ini dianggap menjurus kepada peperangan akhir zaman yang dikenali sebagai peristiwa Malhamah Kubra.
IS mengeksploitasi ayat al-Quran dan hadis mengenai peristiwa akhir zaman itu untuk menarik sokongan umat Islam dari seluruh dunia namun hakikatnya, apa yang berlaku di Syria adalah peperangan sesama Islam serta merupakan pertembungan politik dan konflik sektarian. Ini sekaligus membuktikan dakyah IS tidak selari dengan tuntutan Islam.
Satu lagi faktor yang menyebabkan segelintir rakyat Malaysia menyertai IS adalah kerana mereka percaya penyertaan dalam konflik di Syria itu adalah jalan untuk mati syahid. Mereka menganggap perang di Syria adalah perang di jalan Allah yang menjanjikan syurga kepada sesiapa yang terkorban.
Bagaimanapun, sebagaimana yang diterangkan menerusi kertas putih itu, Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan Kali ke-106 telah merumuskan penyertaan Islam negara ini dalam kumpulan militan IS adalah bertentangan dengan hukum syarak dan kematian mereka tidak dikategorikan sebagai mati syahid berdasarkan hujah bahawa kumpulan tersebut memerangi dan membunuh sesama Islam.
Faktor ketiga yang melunakkan hati segelintir rakyat Malaysia menyertai IS adalah disebabkan rasa simpati terhadap penderitaan penduduk Sunni di Syria akibat kekejaman dan penindasan pemerintahan Bashar al-Assad. Sentimen ini diperkuatkan oleh beberapa demonstrasi termasuk yang berlaku di hadapan kedutaan Syria di Kuala Lumpur pada Jun 2013 melibatkan 1,000 penunjuk perasaan.
Dakyah-dakyah IS disebarkan secara licik menggunakan media sosial seperti Facebook, Instagram, Youtube dan Twitter bagi merekrut anggota-anggota baharu khususnya golongan belia. IS juga menggunakan pelbagai bahasa termasuk Inggeris, Perancis dan Indonesia dalam menyampaikan propaganda bagi menarik umat Islam dari seluruh dunia.
Penglibatan rakyat Malaysia dalam IS tidak boleh dipandang ringan kerana kepulangan mereka daripada kawasan konflik turut membawa fahaman radikal dan ekstreme serta kemahiran membuat bom yang boleh menghuru-harakan negara. Ahli-ahli militan yang kembali dari Syria dan Iraq juga berpotensi meneruskan aktiviti pengganas di negara ini dengan menubuhkan sel pengganas, merekrut ahli baharu, membentuk jaringan antarabangsa serta melakukan serangan.
Maklumat yang diperoleh oleh pihak polis hasil soal siasat ke atas 11 orang suspek anggota sebuah sel pengganas yang ditangkap pada 28 April 2014 mendedahkan perancangan mereka untuk melancarkan serangan bom ke atas pusat-pusat hiburan di Kuala Lumpur termasuk bangunan kerajaan di Putrajaya.
Malah, salah seorang suspek yang ditangkap telah pun membeli serbuk aluminium sebagai bahan untuk diadun menjadi bahan letupan.
Risiko keselamatan yang perlu disedari adalah ahli IS tidak memerlukan sokongan berkumpulan sebaliknya berpotensi melakukan tindakan pengganas secara bersendirian ataupun ‘lone wolf’. Sebagaimana yang berlaku di Australia dan Kanada, golongan penyokong IS yang tidak berpeluang pergi ke Syria dan Iraq pun boleh terdorong melakukan serangan di dalam negara sendiri.
Dunia telah menyaksikan betapa zalim dan kejamnya IS. Penyembelihan hidup-hidup dilakukan terhadap warga Amerika Syarikat (AS) dan Britain serta sengaja disebarkan melalui media sosial. IS tidak teragak-agak membunuh golongan Syiah mahupun Sunni malah misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan sepanjang Oktober 2014, IS telah melakukan pembunuhan sekurang-kurang 1,273 orang.
Rumusan daripada kertas putih itu adalah kerajaan tidak boleh sama sekali memandang ringan ancaman IS kerana ia memberi impak yang besar kepada keselamatan negara. Pengalaman kerajaan menangani radikalisme dan keganasan menunjukkan bahawa agak sukar menukar fahaman yang dijiwai sepenuhnya oleh kelompok militan kerana mereka menolak sama sekali pandangan-pandangan lain.
Sehubungan itu, sebagaimana yang diumumkan Najib, satu undang-undang anti-keganasan perlu digubal untuk membanteras dan mengambil tindakan terhadap rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti militan serta kumpulan pengganas.
Langkah-langkah juga perlu diambil bagi memperkasakan lagi Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA); Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Kanun Keseksaan.
Penglibatan rakyat Malaysia dalam aktiviti militan atas nama Islam telah memburukkan imej negara dan kesucian agama Islam. Seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama dan pegangan politik perlu menolak ideologi ekstrem dan yakin bahawa konsep wasatiyyah atau kesederhanaan adalah jalan terbaik untuk menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.
SUMBER RENCANA UTUSAN

Pesanan Ikhlas

Media Ratu Naga di Youtube